Free shipping for orders over RM100.00
Susu Ibu: Makanan Khusus Terbaik Bagi Bayi

“Susu Ibu: Makanan Khusus yang Terbaik bagi Bayi”

Ibu bapa yang mempunyai anak kecil pasti pernah terbaca ayat ini pada setiap tin susu formula kan? Mungkin anda tertanya-tanya, mengapa?

Kandungan susu ibu yang lengkap dan menyeluruh

Secara amnya, susu ibu mengandungi 87% air, 3.8% lemak, 1.0% protein dan 7% laktosa. Susu ibu juga mengandungi vitamin, mineral, enzim pencernaan, hormon, antibodi, sel akar dan oligosakarida. Komposisi susu ibu ini tidaklah tetap, malahan ia berubah-ubah mengikut masa dan keperluan bayi. Sebagai contoh, pada awal sesi penyusuan, susu ibu adalah lebih cair untuk melegakan rasa dahaga bayi dan bertukar menjadi lebih pekat dan lebih berlemak pada waktu kemudian untuk memenuhi keperluan nutrisi bayi.

Susu ibu mempunyai kandungan protein whey yang tinggi (sekitar 50%-80%). Protein whey adalah sejenis protein yang mudah dihadamkan dan diserap oleh badan. Protein adalah penting untuk bayi kerana bertindak sebagai sumber tenaga kepada sel-sel tubuh dan bertindak sebagai signal di dalam otak. Susu ibu mengandungi beberapa jenis asid lemak yang kemudiannya ditukarkan kepada AA, EPA dan DHA yang penting untuk tumbesaran, ketahanan badan, perkembangan kognitif dan perkembangan motor bayi. Vitamin dan mineral yang terkandung dalam susu ibu adalah mencukupi dan memenuhi hampir kesemua keperluan tumbesaran bayi.

World Health Organization (WHO) dan UNICEF menyarankan penyusuan susu ibu sahaja untuk 6 bulan pertama kelahiran bayi dan dilanjutkan sekurang-kurangnya 12 bulan kemudian bagi membekalkan kebaikan nutrisi dan perlindungan kesihatan yang sempurna kepada bayi.

Manfaat susu ibu yang tiada tandingan

Penyusuan susu ibu memberi seribu satu manfaat kepada bayi, ibu dan seisi keluarga. Selain membekalkan nutrisi yang lengkap kepada bayi, susu ibu terbukti menjimatkan wang ringgit, menjimatkan masa dan tenaga ibu bapa kerana tidak memerlukan sebarang  penyediaan serta memberi ruang kepada ibu dan bayi untuk meluangkan masa berharga bersama.

Beberapa kajian mendapati susu ibu dapat mengurangkan risiko penyakit kepada bayi seperti penyakit lelah, obesiti, diabetes tahap 1, masalah pernafasan, jangkitan kuman pada telinga atau saluran penceranaan (seperti cirit-birit dan muntah-muntah) dan sindrom kematian mengejut bayi. Buat si ibu pula, susu ibu boleh mengurangkan risiko penyakit tekanan darah tinggi, diabetes tahap 2, kanser ovari dan kanser payudara. Penyusuan juga dapat membantu mengurangkan berat badan dan menggalakkan pengecutan rahim kepada saiz sebelum mengandung. Menarik bukan?

Alternatif yang selamat

Bagi ibu yang mempunyai kesukaran dalam menyusukan bayi, semestinya susu formula menjadi pilihan. Kebanyakan susu formula di pasaran adalah berasaskan susu lembu atau susu soya. Pembuatan susu formula perlu melalui proses kawalan kualiti dan keselamatan yang ketat. Pengilangan susu formula perlu mendapat kelulusan oleh badan kesihatan dan perlu mematuhi Good Manufacturing Process (GMP) seperti kandungan karbohidrat, lemak dan vitamin dalam kuantiti yang ditetapkan bagi memastikan bayi mendapat nutrisi yang mencukupi. Susu formula juga perlu mengandungi vitamin dan mineral yang penting kepada tumbusaran bayi. Sesetengah susu formula diformulasikan dengan probiotik (bakteria baik) dan prebiotik (makanan bakteria baik) untuk membantu masalah penghadaman bayi.

“Bukan taknak susukan, tapi susu yang tak banyak.”

Terdapat beberapa makanan tambahan dan herba yang dapat membantu meningkatkan pengeluaran susu. Antaranya ialah lechitin yang membantu melancarkan pengaliran susu dengan menghalang susu daripada berketul dan menyumbat saluran susu. Herba-herba seperti shatavari, fenugreek dan malunggay pula meningkatkan paras hormon prolaktin dalam darah dan menambah kuantiti susu. Selain daripada itu, ibu menyusu juga amat digalakkan untuk meningkatkan pengambilan kalsium, vitamin D dan zink untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan yang optimum. Perlu diingatkan, sebelum mengambil sebarang makanan tambahan, para ibu perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan terlebih dahulu.

 

Rujukan:

  1. Martin CR, Ling PR, Blackburn GL. Review of Infant Feeding: Key Features of Breast Milk and Infant Formula. Nutrients. 2016;8(5):279. Published 2016 May 11. doi:10.3390/nu8050279
  2. Bazzano AN, Hofer R, Thibeau S, Gillispie V, Jacobs M, Theall KP. A Review of Herbal and Pharmaceutical Galactagogues for Breast-Feeding. Ochsner J. 2016;16(4):511-524.
  3. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/15274-the-benefits-of-breastfeeding-for-baby--for-mom